Jamaica Industry Online
SEE OTHER BRANDS

Informing on industries and services news in Jamaica

KPJ Healthcare Bekerjasama dengan NetSfere untuk Mempertingkatkan Keselamatan Komunikasi di 30 hospital

KUALA LUMPUR, Malaysia, Oct. 01, 2025 (GLOBE NEWSWIRE) -- KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare”), penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, telah menjalin kerjasama strategik dengan NetSfere, penyedia global bagi penyelesaian pemesejan dan kolaborasi perusahaan yang selamat, untuk melancarkan platform komunikasi terenkripsi di 30 hospital dalam rangkaiannya di seluruh negara.

Di bawah kerjasama ini, NetSfere akan membekalkan KPJ Healthcare dengan platform komunikasi yang selamat, patuh peraturan dan dikendalikan secara berpusat bagi melindungi maklumat sensitif, disamping membolehkan kolaborasi lancar dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan. Platform ini menawarkan penyulitan hujung ke hujung, panggilan suara dan video, perkongsian fail yang selamat serta kawalan pentadbiran IT lanjutan untuk menyokong pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia (“PDPA”) dan piawaian industri penjagaan kesihatan.

Dihoskan di Amazon Web Services (“AWS”) di Malaysia, NetSfere memastikan kedaulatan data sambil menawarkan sistem amaran krisis masa nyata, tadbir urus IT berpusat dan keupayaan audit menyeluruh. Platform ini merangkumi Net-C, pembantu AI yang membolehkan doktor dan kakitangan hospital mengakses aliran kerja serta maklumat secara selamat secara masa nyata, sekali gus meningkatkan produktiviti dan menambah baik hasil rawatan pesakit. Semua data disimpan dengan selamat di Malaysia, menyokong pematuhan terhadap piawaian Malaysian Society for Quality in Health (“MSQH”) dan Joint Commission International (“JCI”).

Penyelesaian ini mula diperkenalkan di KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital pada Mac 2024, diikuti oleh Johor Specialist Hospital dan Ampang Puteri Specialist Hospital. Pelaksanaan awal di hospital-hospital ini telah menunjukkan kadar penerimaan yang tinggi serta peningkatan ketara dalam komunikasi klinikal yang selamat. NetSfere akan terus diperluas ke seluruh Kumpulan, menyokong doktor, jururawat, pasukan klinikal dan pengurusan hospital dalam menyampaikan penjagaan dengan lebih cekap dan selamat.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Kerjasama dengan NetSfere memperkukuh cara warga kerja kami berhubung dan bekerjasama, di samping melindungi kepercayaan yang diberikan oleh para pesakit kami. Ia menyediakan platform komunikasi yang selamat untuk pasukan kami berinteraksi dan bekerjasama sambil memastikan piawaian tertinggi dalam privasi data. Dengan memperkukuh keupayaan ini di seluruh rangkaian hospital, kami sedang membina asas digital untuk penjagaan yang lebih selamat dan pintar sejajar dengan kemajuan KPJ Health System.”

“Kami berbesar hati untuk membawa NetSfere ke semua 30 hospital KPJ bagi memberikan keyakinan kepada pesakit dan kakitangan bahawa mereka dilindungi,” kata Anurag Lal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden NetSfere“Platform kami dibina untuk melepasi penanda aras antarabangsa dari segi keselamatan, pematuhan dan kecemerlangan komunikasi. Dalam persekitaran penjagaan kesihatan masa kini, tadbir urus IT yang melindungi bukan sekadar pilihan teknologi, tetapi merupakan keperluan klinikal.”

Kerjasama ini menegaskan komitmen KPJ Healthcare untuk memacu inovasi di bawah KPJ Health System, yang mengintegrasikan aspek klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi memberikan nilai serta hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit, di samping memperkukuh landskap penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

KPJ Healthcare

NetSfere

Perihal KPJ Healthcare Berhad

KPJ Healthcare Berhad mengendalikan rangkaian 30 hospital di seluruh Malaysia, disokong oleh empat Pusat Penjagaan Ambulatori yang terletak di Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Selangor. Dengan lebih daripada 1,647 pakar perubatan, KPJ Healthcare menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada lebih 3.3 juta pesakit setiap tahun. Sebanyak 19 hospital KPJ telah diakreditasi oleh Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), manakala empat lagi menerima akreditasi daripada Joint Commission International (JCI), mencerminkan komitmennya terhadap piawaian penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta pertama di Malaysia yang menubuhkan Academic Health System (AHS), KPJ Health System mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi mendorong kemajuan perubatan, mempertingkatkan hasil rawatan pesakit serta memupuk budaya inovasi berterusan.

Selain perkhidmatan hospital, KPJ Healthcare turut mengendalikan lapan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), lapan pusat dialisis dan sembilan klinik bergerak di seluruh negara. Salah satu klinik KWAN telah menerima akreditasi MSQH, sekali gus memperkukuh misinya untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Dari segi pendidikan, Universiti KPJ Healthcare (“KPJU”) yang terletak di Negeri Sembilan menawarkan lebih daripada 40 program pengajian dari peringkat Asasi hingga PhD. Inisiatif ini telah menyokong strategi peluasan rangkaian hospital KPJ dengan memastikan KPJ Healthcare sentiasa mempunyai tenaga kerja yang berpengalaman dan terlatih.

KPJ Healthcare telah menjadi sebahagian daripada Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia sejak tahun 2016.

Perihal NetSfere

NetSfere ialah platform komunikasi perusahaan selamat generasi baharu yang menawarkan pemesejan berkuasa AI dan tahan kuantum bagi melindungi komunikasi kritikal dalam era ancaman siber yang semakin kompleks. Produk keluaran Infinite Convergence Solutions, Inc., perkhidmatan global berasaskan awan NetSfere menyediakan pemesejan disulitkan hujung ke hujung, kolaborasi masa nyata, ciri keselamatan berasaskan pematuhan, kawalan berasaskan lokasi serta pengawasan dan kawalan pentadbiran IT yang menyeluruh. Platform ini disokong oleh kerjasama strategik dengan Deutsche Telekom GmbH, salah satu syarikat telekomunikasi terkemuka dunia dan NTT Ltd., penyedia perkhidmatan ICT global, yang membolehkan organisasi di seluruh dunia melaksanakan penyelesaian komunikasi yang selamat, patuh peraturan dan dipacu AI. Dengan memanfaatkan legasi Infinite Convergence dalam penyampaian penyelesaian mobiliti bertaraf pembawa, teknologi NetSfere menyokong lebih 500 juta pelanggan dan memproses lebih satu trilion mesej setiap tahun. Platform ini mematuhi sepenuhnya piawaian pengawalseliaan global termasuk GDPR, FedRAMP, HIPAA, SOC2, Sarbanes-Oxley, ISO 27001 dan banyak lagi, bagi memastikan perusahaan memenuhi keperluan keselamatan dan pematuhan tertinggi. Infinite Convergence Solutions mempunyai pejabat di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, India dan Singapura. Ketahui lebih lanjut di www.netsfere.com.. Ketahui lebih lanjut di www.netsfere.com.


Primary Logo

Legal Disclaimer:

EIN Presswire provides this news content "as is" without warranty of any kind. We do not accept any responsibility or liability for the accuracy, content, images, videos, licenses, completeness, legality, or reliability of the information contained in this article. If you have any complaints or copyright issues related to this article, kindly contact the author above.

Share us

on your social networks:
AGPs

Get the latest news on this topic.

SIGN UP FOR FREE TODAY

No Thanks

By signing to this email alert, you
agree to our Terms & Conditions